Friday, June 12, 2020

Kisah 25 Nabi_Nabi Ibrahim_Part 1




[6/25] - Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam (Bahagian 1)

Did you know?

1) Nabi Ibrahim berasal dari Babylon yang kini dikenali sebagai Iraq.

2) Bapa nabi Ibrahim seorang pembuat patung berhala. Dia cuba melatih nabi Ibrahim untuk mengambil alih perniagaan penjualan patung berhala sejak kecil. Namun nabi Ibrahim merupakan seorang kanak-kanak pintar. Sejak umur 7 tahun, baginda sudah mula menyoal pelbagai soalan mengenai tuhan. Dia melihat bapanya mengukir patung berhala kemudian melihat orang beli dan menyembah patung tersebut. Baginda menyoal bapanya, mengapa orang menyembah patung buatan tangan bapanya itu? Bapanya cuma menjawab, jangan persoalkan tradisi nenek moyang kita.

3) Suatu hari bapa nabi Ibrahim menyuruh baginda membawa beberapa patung berhala untuk dijual kepada orang ramai. Dalam perjalan tersebut, baginda melalui sebuah sungai. Nabi Ibrahim telah mencampakkan patung tersebut ke dalam sungai dan berkata, “Berenanglah! Kalau kau dewa yang hebat, selamatkan diri dan berenang!” Namun patung-patung tersebut terus tenggelam ke dasar sungai.

4) Sehari dalam setahun, kaum nabi Ibrahim akan menyambut sebuah perayaan di mana mereka akan berkumpul di tengah kota untuk menyembah berhala. Sedang orang ramai sibuk berpesta, nabi Ibrahim telah menghancurkan patung-patung berhala di tempat penyembahan dengan kapak. Baginda meninggalkan satu patung yang paling besar kemudian diletakkan kapak tadi pada tangan patung tersebut.

5) Apabila orang ramai sedar degan apa yang terjadi, ramai yang menganggap bahawa nabi Ibrahim yang melakukannya kerana baginda terkenal dengan pertanyaan mengenai dewa-dewa mereka. Bahkan Allah kurniakan kepada nabi Ibrahim kehebatan berdebat oleh itu baginda terkenal dengan perdebatan mengenai agama. Orang-orang musyrik bersemuka dengan baginda untuk menyoal siasat adakah benar baginda yang melakukannya.

6) Nabi Ibrahim menjawab, “Mengapa tanya aku? Tanya si besar itu kerana kapak ada pada tangannya, semestinya dia yang menghancurkan kawan-kawannya yang lain.” Mereka memjawab semula, “Kau ni bodoh ke? Itu kan patung, tidak mungkin ia boleh bercakap atau bergerak!” Nabi Ibrahim berkata, “Sekarang aku atau kau yang bodoh? Kau tahu patung itu tidak boleh bergerak, bercakap, makan atau minum, tidak boleh lindungi diri sendiri apabila ada yang cuba menghancurkannya, jadi mengapa kau sembah dia?” Dalam hati mereka terdetik ada benarnya juga apa yang diperkatakan. Namun disebabkan ego untuk mempertahankan tradisi nenek moyang, mereka bersetuju untuk bunuh nabi Ibrahim.

7) Mereka menyalakan unggun api yang sangat besar dan panas untuk membakar nabi Ibrahim. Mereka mengikat nabi Ibrahim pada pucuk pokok untuk dihumban masuk ke dalam api. Dahsyat bukan? Kemudian Jibril datang kepada nabi Ibrahim untuk menghulurkan bantuan. Nabi Ibrahim berserah kepada Allah dengan berkata, tiada siapa boleh memberi pertolongan kecuali Allah. Kemudian Allah perintahkan api tadi untuk menjadi sejuk dan nyaman untuk nabi Ibrahim. Rujuk Al Quran (21:69).

8 ) Nabi Ibrahim berjalan keluar daripada api tadi tanpa terbakar sedikit pun, yang terbakar cumalah tali yang mengikat badannya tadi. Semua orang terkejut dan terpaku, takut untuk melakukan apa-apa pada nabi Ibrahim dan dari situ bermulalah ramai diantara mereka yang menjadi pengikut baginda. Orang pertama yang menjadi pengikutnya ialah nabi Luth, anak saudara baginda yang masih kecil lagi ketika itu.

9) Raja Namrud, seorang raja dari negeri lain telah mendengar tentang nabi Ibrahim dan menghantar askarnya untuk membawa nabi Ibrahim datang menghadap. Raja Namrud adalah seorang raja yang kejam yang mengaku dirinya tuhan. Dia berdebat dengan nabi Ibrahim. “Kau kata tuhan boleh menyebabkan hidup dan mati, aku pun boleh buat.” Dia panggil 2 orang banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati. Dia bebaskan seorang dan seorang lagi dibunuh. “Nah! Aku dah menyebabkan hidup dan mati. Akulah tuhan!”

10) Nabi Ibrahim menjawab, “Tuhanku membuat matahari terbit dari timur dan tenggelam di barat. Kalau kau boleh terbitkan matahari dari barat aku akan menyembahmu.” Raja Namrud berasa egonya tercalar. Jika nabi Ibrahim adalah orang biasa, sudah lama baginda dibunuh. Oleh kerana semua orang tahu baginda tidak boleh dibahayakan, bakar sahaja tidak mati, jadi Raja Namrud agak takut dengan baginda dan telah menghalau baginda keluar daripada negara itu.

11) Nabi Luth, nabi Ibrahim dan isteri baginda Siti Sarah berhijrah ke As-Sham. Dalam perjalanan ke sana, mereka melalui sebuah tempat bernama Harran. Di sini orangnya memyembah bintang.

12) Nabi Ibrahim berpura-pura menyembah bintang dan apabila terbitnya matahari, bintang pun hilang. Nabi Ibrahim berpura-pura marah dengan berkata, “Tuhan mana boleh sekejap ada sekejap hilang!”. Kemudian baginda berpura-pura menyembah bulan dan selepas itu matahari pula. Sama sahaja, semua akan hilang apabila siang bertukar malam dan malam bertukar siang. Nabi Ibrahim berdakwah, sembahlah tuhan yang mencipta sekalian alam, yang mencipta siang dan malam, yang kekal abadi.

13) Mereka teruskan perjalanan ke negeri Sham. Sesampainya di Sham, Siti Sarah ditangkap oleh pengintip raja Sham untuk dijadikan gundik. Raja tersebut tidak boleh melihat perempuan cantik, pasti ditangkapnya dan dijadikan gundik istana. Siti Sarah merupakan perempuan tercantik yang pernah raja jumpa maka dia sangat teruja. Siti Sarah berdoa kepada Allah untuk perlindungan. Apabila raja tersebut meilhat Siti Sarah bersedih, dia turut bersedih. Oleh itu dia melepaskan Siti Sarah dan menghadiahkan seorang hamba perempuan bernama Siti Hajar.

14) Nabi Ibrahim dan Siti Sarah tinggal di Kota Sham bertahun lamanya sehingga tua. Perniagaan mereka semakin maju dan mereka hidup senang.

Akan bersambung...

#RamadahanTales oleh;
Saudari Sharifah Syazreen Al-idrus

https://www.facebook.com/sharifahsyazreen.alidrus

5 comments:

  1. good info..nanti share lagi ye

    ReplyDelete
  2. hi shirven tahniah sb nombor anda bertuah utk hadiah segmen by ummi.. sila kehttp://nurasyiqin201.blogspot.com/2020/06/pengumuman-cabutan-bertuah-segmen-hari.html#comment-form ya ;)

    ReplyDelete
  3. Yes.. Penantian yang berbaloi.. tq..

    ReplyDelete

tq, peace :)