Friday, August 14, 2020

Kisah 25 Nabi_Nabi Daud





[17/25] - Nabi Daud ‘Alaihissalam

Did you know?

1) Beberapa generasi selepas kewafatan nabi Musa, Bani Israel bagaikan tiada pedoman. Mereka seperti kehilangan sehinggakan satu ketika Allah datangkan sehingga tiga orang nabi kepada mereka. Mereka telah lalui banyak peperangan dan semuanya mereka kalah. Dalam satu peperangan, Bani Israel telah kehilangan harta yang paling berharga di tangan pihak lawan. Harta itu adalah sebuah peti yang berisi ayat-ayat keterangan Allah dan beberapa barangan peninggalan nabi Musa dan nabi Harun seperti pakaian nabi Musa dan sebagainya. Hilangnya peti itu membuatkan mereka semakin rasa kehilangan dan lebih tersasar dari jalan Allah.

2) Lebih kurang 500 tahun selepas kewafatan nabi Musa, Allah datangkan nabi Yusha untuk memberi panduan kepada Bani Israel. Bani Israel inginkan seorang pemimpin maka mereka meminta nabi Yusha untuk melantik seorang raja dari kalangan mereka supaya mereka boleh berkhidmat kepadanya. Nabi Yusha berdoa kepada Allah dan Allah telah memilih seorang lelaki bernama Talut dari kalangan Bani Israel. Talut seorg yang berpengetahuan luas dan badannya sasa, dan dia juga lelaki paling tinggi dari kalangan mereka. Dari segi kebijaksanaan dan aspek fizikal, Talut adalah yang paling layak menjadi pemimpin. Apabila telah mendapat raja seperti yang diminta, Bani Israel menolak Talut sebagai pilihan kerana dia seorang yang miskin.

3) Kemudian, Allah menurunkan peti harta Bani Israel yang hilang dalam peperangan dari langit sambil dibawa oleh para malaikat. Ia kembali menjadi milik mereka. Dengan ini, Bani Israel tidak boleh menolak perintah Allah untuk menerima Talut sebagai raja. Pada waktu itu juga kaum Jalut sedang merancang untuk berperang dengan Bani Israel. Kaum Jalut (atau dikenali juga sebagai Goliath) ini sejenis kaum yang berbadan besar dan kuat. Rata-rata menceritakan bahawa mereka ini adalah kaum gergasi. Raja mereka bernama Jalut dan dia seorang gergasi yang paling besar dan kuat. Talut yang merupakan orang paling tinggi dalam kalangan Bani Israel pun jika dibandingkan dengan Jalut, tingginya setakat bahu Jalut sahaja. Dikatakan Jalut terlalu kuat, dia seorang sahaja sudah cukup untuk menewaskan seluruh angkatan pihak lawan.

4) Talut memimpin seramai 80,000 orang Bani Israel untuk berperang dengan kaum Jalut. Dalam perjalanan ke medan perang, tentera Bani Israel berjalan merentasi padang pasir sehingga berjumpa dengan sebuah sungai. Mereka perlu menyeberang sungai itu namun sebelum itu Talut berpesan kepada kaumnya bahawa Allah telah melarang Bani Israel dari meminum air sungai tersebut kecuali dengan hanya seceduk tapan tangan. Jika ada yang minum sepuas-puasnya,mereka tidak dibenarkan untuk mengikut Talut berlawan di medan perang (Rujuk surah al-Baqarah ayat 249). Bani Israel baru sahaja berjalan merentasi padang pasir oleh itu mereka sangat haus. Antara 80,000 orang tentera, seramai 76,000 dari mereka telah meminum air sungai tadi. Tinggal 4000 sahaja yang berjaya merentas sungai tanpa melanggar perintah Allah. Kemudian mereka melihat angkatan tentera Jalut yang sangat besar dan sangat ramai sehinggakan pergerakan mereka menyebabkan pasir berterbangan ke langit membentuk kepulan awan pasir. 4000 orang tersebut menjadi sangat takut, lebih-lebih lagi apabila menyedari bahawa bilangan mereka semakin mengecil. Kebanyakan mereka menarik diri dan tinggal seramai 314 orang sahaja yang masih mengikuti berperang.

5) Tentera Talut berdepan dengan sang gergasi Jalut yang menggerunkan. Jalut memegang perisai yang sangat besar sehingga menutupi seluruh badannya. Jalut menyeru kepada Bani Israel untuk menghantar seorang yang paling berani untuk berlawan dengannya. Jalut melaungkan panggilan itu sebanyak 3 kali namun tidak ada seorang pun askar Bani Israel yang menyahut cabarannya. Tiba-tiba keluar seorang anak muda yang berbadan kecil bersenjatakan lastik getah di tangannya. Dia berkata, “Aku akan melawan kau, Jalut!” Pemuda itu bernama Daud. Jalut melihat pemuda itu dan berkata, “Aku takkan berlawan dengan kau kerana kau seorang budak.” Nabi Daud mengambil 3 biji batu dan melastik ke arah Jalut. Salah satu batu itu terkena dahi Jalut, di antara matanya iaitu tempat yang Jalut paling lemah. Lalu Jalut si gergasi itu pun rebah ke tanah dan mati. Peperangan tu pun berakhir dan kemenangan menjadi milik Bani Israel. Kisah nabi Daud & Jalut atau dikenali juga sebagai ’David & Goliath’ ini banyak diadaptasikan di dalam buku cerita, filem dan banyak lagi.

6) Talut memerintah Bani Israel sehingga ke akhir hayatnya. Talut mengahwinkan anak perempuannya dengan nabi Daud dan nabi Daud menggantikan Talut sebagai raja setelah kewafatannya. Allah mengangkat kedudukan nabi Daud menjadi raja dan sekaligus mengangkatnya sebagai nabi Allah untuk menyebarkan ajaran Islam. Setelah berabad lamanya Bani Israel hidup dalam keadaan huru hara, akhirnya mereka dipimpin oleh seorg raja untuk hidup dengan aman. Kitab Zabur diwahyukan kepada nabi Daud sebagai panduan hidup umatnya. Dikatakan nabi Daud mempunyai suara yang sangat merdu, apabila baginda membaca kitab Zabur, burung-burung turut menyanyi dengannya. Nabi Daud juga mempunyai mukjizat boleh melenturkan besi dengan tangannya. Nabi Daud sangat pandai membuat perisai daripada besi.

7) Nabi Daud dan isterinya melahirkan waris iaitu nabi Sulaiman. Nabi Daud wafat pada usia 100 tahun.

#RamadahanTales oleh;
Saudari Sharifah Syazreen Al-idrus

https://www.facebook.com/sharifahsyazreen.alidrus

4 comments:

  1. Alhamdulillah.. terima kasih untuk bacaan ini..

    ReplyDelete
  2. Syukur. Bertambah ilmu pengetahuan tentang sejarah nabi-nabi.

    ReplyDelete
  3. thanks for sharing this..
    honestly sy pun semakin lupa kisah2 nabi ni..teruknya haii
    btw tq so much again

    ReplyDelete

tq, peace :)