Friday, July 17, 2020

Kisah 25 Nabi_Nabi Ayub




[12/25] - Nabi Ayub ‘Alaihissalam

Did you know?

1) Nabi Ayub lahir dari keturunan nabi Ishak dan isterinya, Rahma lahir dari keturunan nabi Yusuf. Ibu nabi Ayub pula lahir dari keturunan nabi Luth. Ini menunjukkan mereka semua adalah daripada keturunan nabi Ibrahim atau dipanggil ‘The House of Abraham’ oleh orang inggeris. Nabi Ayub dikurniakan dengan kekayaan, tubuh badan yang sihat, anak yang ramai, keimanan yang teguh dan baginda sangat dihormati oleh kaumnya. Apabila baginda berdakwah, semua orang akan berebut untuk mendengar bahkan semua orang mahu mendampinginya.

2) Ditakdirkan nabi Ayub ditimpa ujian Allah satu persatu. Pertama, Allah menarik kembali kekayaannya. Segala harta, rumah, haiwan ternakan, semuanya musnah dan hilang. Nabi Ayub jatuh miskin dengan sekelip mata. Kemudian Allah tarik semula zuriatnya. Nabi Ayub mempunyai ramai anak namun satu persatu anaknya mati di hadapan matanya sehingga tidak ada lagi anak yang hidup. Setiap kali anaknya meninggal, baginda cuma berkata, “Segalanya milik Allah dan setiap manusia akan pulang kepada-Nya.” Kemudian Allah tarik pula kesihatannya. Nabi Ayub jatuh sakit yang amat teruk sehinggakan tinggal lidah baginda sahaja yang boleh bergerak dan baginda menggunakan untuk memuji Allah. Organ dalamannya menjadi rosak dan baginda mendapat penyakit kulit yang merosakkan kulit di seluruh badannya sehingga rupanya susah untuk dikenali. Disebabkan penyakit kulitnya, orang ramai mula menjauhinya sehingga tidak ada lagi yang ingin mendampinginya. Nabi Ayub sangat penyabar. Walaupun satu persatu ujian datang melanda, hatinya tetap teguh beriman kepada Allah. Nabi Ayub tidak pernah merungut atau meminta Allah hilangkan kesengsaraannya, baginda sangat sabar dan menerima sahaja ketentuan Allah.

3) Nabi Ayub kehilangan segalanya kecuali satu iaitu isterinya. Rahma bersama-sama mengharungi segala ujian yang ditimpa suaminya dan menjaga suaminya ketika sakit. Dia menghabiskan hartanya untuk membeli ubat-ubatan dan makanan buat suaminya. Apabila duitnya juga telah habis, dia terpaksa mencari kerja. Semua orang tahu tentang penyakit nabi Ayub. Apabila Rahma pergi mencari kerja, mereka enggan menerimanya kerana takut berjangkit penyakit kulit nabi Ayub. Tidak ada sorang pun yang mahu mahu mengambil dia bekerja. Rahma sedih dan mengeluh kepada nabi Ayub. Dia bertanya, “Sampai bila kita mahu seperti ini?” Nabi Ayub bertanya, “Berapa lama telah aku hidup dalam kesenangan?” Rahma menjawab, “80 tahun.” Nabi Ayub bertanya lagi, “Dan berapa lama telah aku hidup dalam kesusahan?” Rahma menjawab, “7 tahun.” Kemudian Nabi Ayub membalas, “Maka bagaimana aku mahu mengeluh jika kesengsaraanku amat kecil berbanding kesenangan yang telah Allah berikan kepada aku? Aku berjanji, apabila aku sihat nanti aku akan merotanmu sebanyak 100 kali”. Nabi Ayub marah kerana isterinya mengeluh dengan ketentuan Allah.

4) Makin hari, Rahma menjadi semakin terdesak mencari duit. Dia perlukan duit untuk membeli makanan dan ubat untuk suaminya. Rahma membuat keputusan untuk memotong rambutnya yang panjang dan menjualnya. Maka daripada duit yang sikit itu dapatlah dia membeli makanan untuk suaminya. Apabila nabi Ayub bertanya dari mana dia mendapatkan duit, Rahma takut untuk memberitahu perkara sebenar kerana dia tahu suaminya akan marah. Maka Rahma mengatakan bahawa dia bekerja dan mendapat upah. Rambutnya adalah satu-satunya harta yang tinggal maka dia membotakkan sebahagian kepalanya sedikit demi sedikit dan menjual rambutnya. Nabi Ayub tidak sedar akan keadaan rambut isterinya kerana dia sentiasa menutupi kepalanya. Sehingga satu hari, Rahma terpaksa membotakkan seluruh kepalanya untuk membeli makanan buat suaminya. Kali ini, nabi Ayub bertegas untuk mengetahui dari mana Rahma mendapatkan duit kerana baginda tahu bahawa orang ramai enggan mengambilnya bekerja. Rahma membuka kain di kepalanya dan menunjukkan kepalanya yang sudah botak.

5) Selepas nabi Ayub melihat keadaan isterinya, akhirnya baginda berdoa kepada Allah untuk meminta pertolongan - Rujuk al Quran (21:83). Allah menurunkan wahyu kepada nabi Ayub yang terlantar sakit itu untuk menghentakkan kakinya ke tanah. Apabila nabi Ayub menghentak kakinya, keluar memancut air yang sejuk dari bawah tapak kakinya untuk nabi Ayub minum dan mandi - Rujuk al Quran (38:42). Selepas nabi Ayub meminum air yang sejuk itu, semua organ dalamannya kembali pulih dan kulitnya diganti dengan kulit yang baru. Kesihatannya kembali pulih, malah lebih sihat dari sebelumnya. Apabila Rahma pulang, nabi Ayub tiada di tempat biasa lalu dia mencari suaminya. Apabila nabi Ayub datang kepada isterinya, Rahma tidak mengenali rupa suaminya kerana sudah terlalu lama sakit sehingga dia lupa rupa asal suaminya. Dia pun bertanya kepada lelaki yang tidak dikenalinya itu ada ternampak suaminya atau tidak. Nabi Ayub berkata, “Ini aku, Ayub, suamimu. Allah telah mengurniakan aku kesihatan.”

6) Allah telah menurunkan ujian ke atas nabi Ayub untuk menguji kesabaran dan keimanannya. Sebagai ganjaran, Allah mengurniakan kepada nabi Ayub zuriat dua kali ganda lebih ramai dari sebelumnya - Rujuk al Quran (38:43). Dan sebuah hadis ada menceritakan, ketika nabi Ayub sedang mandi, Allah menurunkan belalang emas dari syurga menghujani tempat mandinya. Nabi Ayub mengumpulkan belalang emas itu dan bersyukur ke atas kurniaan Allah.

7) Kegembiraan kembali keoada nabi Ayub. Namun baginda ada satu lagi perkara yang belum selesai. Baginda telah bernazar untuk merotan isterinya sebanyak 100 kali. Allah menurunkan wahyu kepada nabi Ayub untuk mengumpulkan 100 batang lalang dan merotan isterinya sebanyak satu kali, dan hutang nazarnya akan selesai - Rujuk al Quran (38:44). Maka nabi Ayub pun merotan Rahma sebanyak satu kali menggunakan 100 batang lalang. Sampai tahap itu Allah kasih dan bantu nabi Ayub.

8 ) Pengajaran yang boleh diambil adalah seteruk mana pun keadaan hidup kita, bersabarlah. Allah sedang menguji kita. Dan ganjaran untuk sabar itu sangatlah besar, hanya tunggu dan lihat.

#RamadahanTales oleh;
Saudari Sharifah Syazreen Al-idrus

https://www.facebook.com/sharifahsyazreen.alidrus

5 comments:

  1. Allahu...kita ni demam 2 hari dah mengeluh resah.

    Terima kasih atas sharing ni

    ReplyDelete
  2. Kadang-kadang tak daya nak sabar, malu dengan para Nabi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. kita mudah mengalah dan marah, saya sdiri sering kurang sabar

      Delete

tq, peace :)